Nikmat Kehidupan Di Sebalik Amalan Bersyukur

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

 

ALLAH memberi kenikmatan hidup tidak terhingga kepada manusia dan seluruh makhluk di alam ini.

Nikmat itu tidak mampu dihitung satu persatu biarpun manusia berusaha menghitungnya.Firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tidaklah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”(Surah an-Nahl, ayat 18).

Sesiapa bersyukur, dia berasakan kekayaan, kekuatan, kepandaian dan sebarang kelebihan dimiliki hanya sebagai ujian daripada Allah.

Perkataan syukur dan perkataan yang berasal dari kalimah itu disebut 77 kali dalam al-Quran sebagai memberi peringatan supaya manusia tidak lalai menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya.

Bersyukur dapat menghindarkan sifat lupa diri, bongkak, ujub dan tamak yang mudah menguasai diri orang yang dilalaikan dengan kenikmatan dunia.

Sifat itu membawa kehancuran kehidupan manusia yang berasakan apa dinikmati adalah hasil usahanya.

Sebab itu, kalimah syukur kerap digandingkan dengan kalimah zikr (ingat) yang memberi peringatan supaya manusia terus istiqamah, tetap mengikuti jalan diredai dan tidak mudah lupa diri serta kufur dengan nikmat diperoleh.

Nabi Sulaiman sentiasa mengingati dan mengucapkan syukur dengan kelebihan dikurniakan Allah kepadanya.

Keupayaannya memerintah manusia dan seluruh makhluk lain adalah anugerah istimewa diberikan Allah kepadanya.

Jelas betapa pentingnya kita bersyukur dan sentiasa istiqamah dalam mengabdikan diri dan beribadat kepada Allah.

Keimanan perlu sentiasa utuh tidak kira ketika kesenangan mahupun berdepan dengan cubaan berat.

Firman Allah bermaksud: “Kata Sulaiman: “Ini adalah anugerah daripada Tuhanku untuk menguji diriku sama ada aku bersyukur kepada-Nya atau aku ingkar. Dan sesiapa kufur (ingkar), sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya Lagi Maha Pemurah.” (Surah an-Naml, ayat 40).

Amalan bersyukur pada hakikatnya adalah manifestasi untuk menyatakan terima kasih yang tidak terhingga kepada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih.

Tanpa izin Allah, pasti kita tidak akan dapat meneguk walau setitik air atau merasai nikmat biarpun sedetik.

Sesiapa tiada dalam hatinya perasaan bersyukur, itulah tanda hatinya telah mati.

Dia bakal menempuh kehidupan lebih sukar pada masa akan datang dan akhirat nanti.

Allah menarik balik nikmat kepada orang yang tidak bersyukur secara nyata mahupun tidak nyata.

Banyak umat terdahulu yang menerima pembalasan dibinasakan hidup mereka disebabkan tidak bersyukur dan ingkar perintah Allah.

Nasib menimpa penduduk Saba ditimpa banjir besar dan sikap angkuh Qarun yang ditelan bumi bersama-sama harta kekayaan adalah pengajaran yang patut dijadikan pedoman kepada umat terkemudian.

Saba adalah kabilah Arab yang tinggal di Yaman sekarang ini.

Mereka mendirikan kerajaan yang terkenal dengan nama kerajaan Sabaiyyah dengan Marib sebagai kotanya.

Kerajaan Sabaiyyah membangun dan rakyat dapat menikmati kehidupan aman, sejahtera dan mewah hasil pembinaan Ampangan Marib.

Kemewahan dan kenikmatan dilimpahi Allah menyebabkan kaum Saba lupa diri dan ingkar seruan Rasul, lalu Allah timpakan azab banjir besar atau ‘sailul arim’ akibat pecahnya Ampangan Marib seperti dijelaskan Allah dalam surah Saba, ayat 16.

Qarun menerima pembalasan disebabkan perasaan angkuh memiliki kemewahan dan kekayaan di dunia.

Hendaklah jangan kita berasakan apa diperoleh di dunia ini adalah semata-mata hasil usaha sendiri dan menolak hakikat kurniaan Allah.

Qarun pada asalnya beriman kepada Allah dan menjadi pengikut setia Nabi Musa.

Namun, selepas memperoleh kekayaan, dia tidak bersyukur.

Dia menolak permintaan Musa supaya mengeluarkan zakat dan sedekah kepada kaumnya daripada hasil kekayaan itu.

Qarun derhaka kepada Allah kerana mengaku kekayaan dimiliki itu adalah hasil usahanya sendiri.

Cerita keangkuhan Qarun disebut dalam beberapa ayat surah al-Qashash.

Sebahagian daripada ayat 76 surah itu bermaksud:“Sesungguhnya Qarun itu termasuk kaum Musa, tetapi dia melakukan aniaya kepada mereka, dan Kami berikan kepadanya kekayaan, kuncinya berat dipikul oleh sekumpulan orang yang kuat”
Jelas betapa pentingnya kita bersyukur dan sentiasa istiqamah dalam mengabdikan diri dan beribadat kepada Allah.

Keimanan perlu sentiasa utuh tidak kira ketika senang mahupun berdepan dengan cubaan berat. (Petikan dari Berita Harian)

Respond to this post